Sabda Nabi s.a.w: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan siwak dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab, yang
bermaksud membersihkan gigi. Selain perkataan siwak, perkataan miswak
juga digunakan bagi membawa maksud yang sama. Manakala dalam bahasa
Inggeris, perkataan siwak diterjemahkan sebagai chewing stick. Menurut Ibn al-Nafis, keistimewaan menggunakan
siwak dari kayu al-Arak
ialah jika diguna secara sederhana ia akan memutihkan gigi, menguatkan
tulang, menghindar dari berlubang dan mengelokkan ketawa. Malah Ibn
al-Qayyim menambah lagi iaitu siwak, melancarkan lidah, menjernihkan
otak, membuka selera dan apa yang baik ialah menggunakannya dengan air
mawar.
Selain itu,
bersugi dapat membersihkan mulut secara menyeluruh, menguatkan gusi, menghilangkan
kahak, menerangkan penglihatan, menyihatkan perut, memerdukan
suara, membantu dalam penghadaman makanan, melancarkan percakapan,
mencergaskan bacaaan zikir dan solat, menghindar mengantuk, mendapat
keredaan Allah, menakjubkan malaikat, mendapat banyak kebaikan dan lain-lain
lagi.
Manakala dari aspek Sains pula,
bersugi mampu mengurangkan kadar bakteria berbanding penggunaan berus
gigi. Malah, ia juga dapat merangsang pengeluaran air liur yang lebih, di
mana ia merupakan organik mulut yang melindungi dan membersihkan mulut.
Amalan
bersugi merupakan salah satu daripada amalan gaya hidup yang sihat. Kita
seharusnya bijak dalam memanfaatkan perkara yang membawa kebaikan kepada diri
kita. Amat baik sekiranya kita mengajar diri dan ahli keluarga lain amalan
bersugi ini.
No comments:
Post a Comment